Berita Semasa Malaysia — Malaya Times

Berita semasa Malaysia terkini dan terbaru. Blog berita dan info semasa Malaysia yang terbaik terkini dan top di Malaysia.

Beratnya dugaan keluarga ini

Seorang bapa tunggal dari Kampung Paya Berenjut, Kemaman, memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya berusia 12 tahun yang mempunyai masalah jantung berlubang congenital asianotik.

Rudi Abdul Wahab, 40 yang berasal dari Kampung Bakau Tinggi, Chukai, Kemaman berkata, anak bongsunya, Nurul Nasmira Najwa, 11, perlu menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur secepat mungkin bagi menutup dua lubang pada jantungnya.

Katanya,

Saya sudah buntu dan habis ikhtiar mencari RM45,000 untuk menampung kos pembedahan anak saya yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir

Tambahnya, dia tidak mampu mengumpul wang sebanyak itu kerana berpendapatan kurang RM300 sebulan dan pada masa sama perlu menyara keluarganya yang mana isterinya, Norhayati Ramli, 39, kini dirawat di Hospital Besar Siti Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana buah pinggangnya rosak.

Saya memang tidak mampu, terpaksa minta ehsan orang ramai, saya datang ke sini (Kuantan) menaiki bas untuk mencari ikhtiar supaya kisah anak saya dapat disiarkan dan diketahui oleh orang ramai bagi mendapat bantuan.

Untuk makan tengah hari pun tidak tahu macam mana, paling penting sekarang Nurul Nasmira Najwa dapat dibantu supaya dia dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Menurutnya, Nurul Nasmira Najwa sebelum ini pernah menjalani pembedahan di IJN tiga tahun lalu dan satu daripada tiga lubang pada jantungnya berjaya ditutup.

Tambahnya lagi,

Sekarang ini perlu tutup dua lagi lubang, kalau saya dapat kumpul RM45,000 sudah tentu pembedahan itu dapat dilakukan dengan segera.

Tetapi apakan daya, saya tidak mampu lagi mengumpulnya.

Sebelum ini anak saya itu ada mendapat bantuan berjumlah RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia sudah dihentikan tanpa sebarang sebab.

Sebagai bapa, Rudi berharap supaya Nurul Nasmira Najwa dapat menjalani pembedahan dengan segera dan hidup seperti insan lain.

Dia hanya bersekolah sehingga tahun dua sahaja kerana saya tidak mampu selain kesihatannya yang tidak mengizinkan, kakaknya, Nurul Natasha Nadia meninggal dunia sebelum Aidilfitri kerana demam panas berpanjangan.

Kini saya hanya ada Nurul Najwa sahaja, kalau boleh saya mahu dia menerima rawatan dan pembedahan segera untuk menyelamatkannya.

Mereka yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Rudi di talian 018-9011918 atau 011-25581043.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (Rudi Abdul Wahab) 011111-41-00003592-4