"Awang" muncul bila nama diseru



Penduduk di Kampung Cempaka digemparkan dengan kehadiran buaya tembaga yang menjadikan parit sebagai habitat baharu selepas dikatakan tersesat ekoran limpahan air Sungai Kuala Baru ketika banjir tahun lalu.

“Bila jerit saja nama ‘Awang’ sambil baling bangkai dan kulit ayam ke dalam parit, buaya itu akan timbul.

"Kalau panggil nama lain, buaya itu tak pula timbul," kata Mohd Zaki Taufik, 31, penduduk Kampung Cempaka.

Mohd Zaki berkata, selepas kemunculan ‘Awang’, ramai penduduk datang ke parit itu pada setiap pagi dan petang semata-mata mahu melihat buaya itu timbul dan memberi makanan.

“setakat ini buaya ini tidak mengancam penduduk di sini sebaliknya kehadiran haiwan itu menjadikan kampung kami terkenal apabila ramai orang dari luar datang untuk melihat buaya tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Mat Lazim Kadir berkata, sejak dahulu, kawasan kampung itu sering menjadi tempat ‘persinggahan’ buaya sesat akibat pertembungan air pasang sungai dan laut.

Menurutnya, buaya–buaya berkenaan akan kembali ke habitat asalnya apabila berlaku pertembungan air pasang yang seterusnya.

“Kemunculan buaya di sini sudah lama berlaku tapi kali ini disebabkan viral dari media sosial, maka ia menjadi buah mulut orang ramai sehinggalah tersebar secara meluas.

“Ada yang kata ada tiga ekor buaya tembaga di dalam parit ini, tapi saya hanya pernah lihat dua daripadanya kerana haiwan itu tidak timbul serentak,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, reptilia sepanjang hampir dua meter itu tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk kerana dikatakan sudah jinak dan serasi dengan penduduk sekitar.

“Mungkin keadaan parit yang dalam dengan jumlah ikan yang banyak menyebabkan buaya selesa berada di dalam parit itu.

“Reptilia itu hanya akan meninggalkan parit berkenaan bila berlaku banjir besar dan air pasang besar sekali lagi,” katanya.

Selain itu kata Mat lazim, buaya itu seolah-olah tidak takutkan manusia disebabkan sering diberi makanan dan akan timbul berhampiran tebing parit walaupun dikerumuni orang ramai yang menunggu untuk melihatnya.